a good life is when u assume nothing..need less..do more..laugh a lot and realized how blessed you are for what you have..

Saturday, November 19, 2011

Bukan Abu Bakar

harap ada pengajaran yang dapat diambil...

Penduduk Mekah gempar lagi. Orang ramai berkumpul di hadapan Kaabah. Abu Bakar yang mendengar kekecohan itu turut tertarik untuk pergi. Dia mencelah-celah di kalangan kelompok orang ramai yang berkumpul di situ.

“Apa yang berlaku?” soalnya kepada salah seorang penduduk kota Mekkah yang ada di situ.

“Muhammad berdusta lagi. Dia mengatakan bahawa semalam dia telah pergi ke Baitulmaqdis dan pulang semula ke sini dalam waktu semalam sahaja. Sedangkan kita semua tahu tempoh perjalanan dari Mekkah untuk ke Baitulmaqdis memakan masa selama satu bulan.” terang lelaki tersebut. Mereka semua sedang mencemuh Nabi Muhammad.

Kehadiran Abu Bakar di situ disedari oleh Abu Jahal. Pantas, pemimpin di Mekah itu mendapatkan Abu Bakar, sahabat Rasulullah.

“Wahai Abu Bakar. Temanmu ini benar-benar sudah gila dan hilang akal. Mana mungkin seorang manusia biasa mampu pergi ke Baitulmaqdis dan pulang semula ke sini dalam masa satu malam sahaja. Sudah pasti Muhammad ini seorang pendusta.” teriak Abu Jahal. Dia semakin galak untuk menjatuhkan Nabi Muhammad.

“Aku percayakan dia.” sebaris jawapan Abu Bakar ternyata mengejutkan ramai orang.

“Muhammad ini ialah sahabat aku. Dan dia ialah seorang Rasul. Bukan setakat Baitulmaqdis, aku percaya dia mampu untuk pergi lebih jauh dari itu.” keyakinan dan kepercayaan Abu Bakar terhadap sahabat yang dicintainya lebih daripada dirinya sendiri ternyata sukar digugat.

Itulah dia putera Abu Quhafah. Sentiasa teguh pendiriannya menyokong Rasulullah. Tanpa mempedulikan dirinya sendiri, Abu Bakar rela bertaruh nyawa demi sahabatnya. Demi menegakkan Islam. Bersama-sama sahabat sampai syurganya, Nabi Muhammad.

***************************************************

“Ain, janji dengan aku satu perkara.” Ain medongak, mengalih pandang kepada Amirah.

“Apa dia?”

“Kita akan terus bersahabat sampai bila-bila. Percaya satu sama lain. Tak akan berbohong. Kongsi segala-galanya. Dan,kita akan sama-sama masuk syurga. ” Amirah menyuakan jari kelikingnya.

Buat seketika, Ain terdiam. Manakala Amirah menanti dengan penuh pengharapan. Perlahan,. Akhirnya,Ain turut menyuakan jari kelikingnya. Jari mereka berdua saling bertaut. “Aku janji.”

***************************************************

“Mira,kau tak dengar cerita ke?” Amirah hanya menggeleng.

“Alah, kan heboh kat aspuri pasal kes kecurian. Dengar cerita, beratus-ratus juga yang hilang. Kesian kan?”

“Kau kesian kat siapa Ain? Mangsa ke pencurinya?”

“Orang yang kena curi tu memanglah kesian. Orang yang mencuri tu pun kesian juga. Dapat dosa. Bukannya sikit. Ramai yang jadi mangsa tau. Barang-barang berharga pun banyak yang hilang.” Wajah Ain mendung sekali.

Amirah menggeleng kepala perlahan. Ain…Ain.. memang tak pernah berubah. Mudah sangat bersimpati .Hati Ain sangat mudah tersentuh.

“Sudahlah Ain. Daripada kau penat fikir pasal benda ni, baik kau tolong aku jawab soalan Matematik ni. Pening kepala aku. Cikgu Zul ingat kita ni dah tingkatan tiga agaknya nak jawab soalan macam ni. Padahal PMR kan tahun depan.” Amirah merungut perlahan.

“Tak apalah. Mari aku tolong ajar.” Sekejap sahaja, dua orang sahabat ini tenggelam dalam dunia mereka sendiri. Dunia ciptaan Ain dan Amirah.

*****************************************************

Jam sudah menunjukkan pukul sepuluh setengah pagi. Tapi,Amirah masih di kerusinya. Dia sedang memikirkan sesuatu.

“Mira, kau taknak pergi rehat ke?”

“Ain, temankan aku boleh tak?”

“Pergi mana?”

“Jumpa ustazah Nurul. Aku pun tak tahu sebab apa .Pagi tadi,dia sampaikan pesan suruh aku jumpa dia waktu rehat. Aku cuak lah. Kau teman ye?”

“ Okey. Jom pergi. Nanti habis waktu rehat pula.”

***********************************************

Ain berbaring di atas katil. Arah matanya mendongak memandang siling. Letih. Dia berasa sangat letih. Tak mungkin Mira macam tu. Dia kenal siapa Mira .Dia tahu Mira macam mana orangnya.

“Pagi tadi, saya dan beberapa orang pengawas buat pemeriksaan di asrama kamu. Kami periksa semua loker. Kamu tahu kan tentang kes kecurian yang semakin menjadi-jadi di aspuri sekarang ni?”

Ain saling berbalas pandangan dengan Amirah. Serentak mereka berdua mengangguk. Tapi,kenapa ustazah Nurul menceritakan semua ini dengan mereka. Bukannya mereka terlibat dengan hal ini.

“Kami dah menjumpai beberapa barang yang dilaporkan hilang. Dan ada antaranya berada dalam loker kamu, Amirah.” Amirah kelihatan tersentak. Tak mungkin.

Manakala wajah Ain serta-merta berubah. Hati kecilnya menidakkan kenyataan ustazah itu. Tapi sebahagian lagi berkeras, tak mungkin ustazah akan berkata sedemikian tanpa sebarang bukti.

“Tapi, ustazah, bukan saya yang curi barang-barang tu. Sumpah, saya tak pernah buat semua tu.”

“Awak jangan nak main-main dengan sumpah Amirah. Saya tak nak nanti awak termakan dengan sumpah awak tu.” tegas suara ustazah Nurul. Terus berubah wajah Amirah mendengarnya. Sementara Ain, hanya membisu. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan.

Jam di tangan ditoleh seketika. Waktu rehat sudah hampir habis. Ustazah Nurul memandang kembali wajah Ain dan Amirah.

“Saya bagi awak masa untuk berfikir Amirah. Lebih baik awak sendiri yang mengaku. Saya tak mahu guna kekerasan terhadap awak. Bukti dah ada. Awak tak boleh nak mengelak lagi lepas ni.” Amirah mengangguk perlahan.

“Kau percayakan aku Ain? Kau percaya ke aku yang curi semua tu?”

“Aku percayakan kau. Tapi masalahnya sekarang, barang yang dicuri tu memang ada dalam loker kau. Kalau bukan kau yang curi, macam mana barang tu boleh ada dalam loker kau.” Ain cuba untuk meyakinkan Amirah bahawa dia percaya yang Amirah tak bersalah. Tapi,dalam masa yang sama hatinya turut berperang sesama sendiri.

Amirah tersenyum tawar. Melihat raut wajah Ain pun dia tahu apa yang Ain cakap tidak sama dengan yang ada dalam hatinya. Tetapi,dia enggan berkata apa-apa.

“Sudahlah. Jom masuk kelas. Rehat pun dah habis ni.” Ain mengajak.Amirah hanya mengikuti Ain dari belakang dengan langkah yang lesu. Tanpa sedar,ada air yang menitis dari tubir matanya. Pantas Amirah menyekanya perlahan. Hatinya berperang sesama sendiri. Tidak! Aku tak bersalah. Jerit hati Amirah.

*****************************************************************

“Amirah, saya dah bagi awak tempoh yang cukup lama untuk awak fikirkan. Sekarang ni, awak nak mengaku atau tidak. Kalau awak mengaku, hukuman yang dikenakan akan dikurangkan.” Bicara Ustazah Nurul seakan jarum tajam yang menusuk hatinya. Amirah menentang pandangan Ustazah Nurul.

“Ustazah, walau apapun yang terjadi, saya tahu yang saya tak salah dan saya tak akan mengaku untuk perkara yang saya tak lakukan. Memang saya tak ada bukti nak buktikan saya tak bersalah. Tapi saya tahu Allah tu Maha Adil. Lambat-laun kebenaran pasti akan terbongkar.” Tenang dan yakin saat Amirah berbicara. Dia tahu, hanya Allah yang menjadi sandarannya saat ini .Kerana tiada siapa pun yang sudi menyokongnya, termasuklah Ain, sahabatnya.

“Degil betul awak ni. Saya tak tahulah apa nak jadi dengan awak. Keras kepala. Kalau macam tu,saya akan panggil ibu bapa awak datang. Kemungkinan besar awak akan digantung sekolah. Semuanya terpulang kepada budi bicara pengetua.” Amirah cuma mengangguk.

“Terima kasih ustazah. Dan maaf sebab terpaksa menyusahkan ustazah.”

“Sudahlah. Sekarang ni, saya nak awak buat surat pengakuan mengaku awak bersalah dan bersedia untuk menerima hukuman.”

Amirah menggeleng perlahan.

“Maaf kalau saya melawan ustazah. Tapi saya memang tak bersalah dan saya tak akan buat surat pengakuan tu. Saya minta maaf ustazah.” walaupun mungkin kedengaran agak kurang ajar, tetapi Amirah bertekad. Kebenaran harus dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun. Dia tidak mahu ibu bapanya mendapat malu kerana kesalahan yang dia tidak lakukan langsung. Amirah tidak rela maruah mereka berdua jatuh.

“Saya tak akan berlembut lagi dengan awak. Saya akan buat surat dan panggil ibu bapa awak datang ke sekolah. Biar mereka tahu apa yang awak dah buat. ” Ustazah Nurul mengakhiri perjumpaan tersebut.

Sebaik sahaja keluar dari bilik guru, Amirah ternampak kelibat Ain di luar, sedang menunggunya. Manakala Ain,sebaik sahaja melihat Amirah sudah keluar, dia bergegas mendapatkan Amirah.

“Macam mana Mira,ustazah cakap apa kat kau?”

“Ustazah nak panggil mak ayah aku datang. Dia suruh aku buat surat pengakuan bersalah.” perlahan Amirah menjelaskan.

“Habis,kau buat ke surat tu?”

“Tak.” kepalanya digeleng perlahan.

“Kenapa kau tak nak buat pula? Kalau tak,mesti kes ni pun dah selesai Paling teruk pun,aku rasa kena gantung sekolah.” Ain cuba memberi cadangan.

Amirah memandang wajah Ain. Lama sekali. Renungannya bercampur-baur. Ada rasa yang terpendam .Dia tidak tahu kenapa. tapi hatinya terasa sangat jauh daripada Ain sekarang.

“Kau pun percaya aku yang bersalah kan? Sebab tu kau suruh aku buat surat pengakuan tu. Betul tak Ain?”

Ain terdiam mendengar ayat yang baru sahaja dituturkan Amirah.

“Aku ingatkan kau sahabat aku , Ain. Rupanya kau pun sama macam orang lain. Tak percayakan aku juga.” Amirah akhirnya meluahkan perasaannya yang dipendam selama ini.

“Mana ada. Kenapa kau cakap macam tu pula?” Ain bersuara, tetapi wajahnya ditundukkan. Dia agak terkesan dengan kata-kata Amirah sebentar tadi.

“Sebab kau pun suruh aku buat surat tu. Dan aku nak beritahu kau, aku tak akan buat dan tak akan pernah buat. Sebab aku tak akan mengaku kesalahan yang aku tak buat langsung. Aku masih ada harga diri. Aku tak akan tergamak buat perkara macam tu Ain. Dah lama kau kenal aku, takkan kau tak boleh nak faham aku?”

Ain hanya membisu. Dia tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Sebab sebenarnya sebahagian daripada apa yang Amirah sebutkan itu adalah benar. Walaupun mereka sudah lama bersahabat, Ain masih lagi tidak mampu meletakkan sepenuh kepercayaannya untuk Amirah.

“Mira…maafkan aku. Aku…aku..” Amirah memotong bicara Ain.

“Sudahlah Ain. Kalau kau tak boleh nak percayakan aku, aku tak kisah. Sebab aku tahu, aku bukan sendirian. Keluarga aku masih menyokong aku. Aku tak nak kau rasa terpaksa. Mesti malu kalau berkawan dengan seorang pencuri kan?” Amirah mula membuka langkah untuk pergi. Pergi dengan hati yang terluka kerana sahabatnya.

Ain masih tidak berganjak dari tempatnya. Tiba-tiba dia berasa sebak. Dia memarahi dirinya sendiri kerana gagal mempertahankan sahabatnya sendiri. Ternyata ukhuwah antara dia dan Amirah sangat lemah. Kerana selemah-lemah ukhuwah ialah berbaik sangka. Sedangkan dia, tidak mempercayai Amirah ketika orang lain tidak menyokongnya. Maafkan aku, Mira, maafkan aku. Bisik hati kecil Ain.

**************************************************************

Sudah hampir dua minggu berlalu. Dan dua minggu ini dilalui oleh Ain dengan sukar sekali. Selepas perjumpaan Amirah dengan Ustazah Nurul tempoh hari, dia terus membuat permohonan untuk berpindah sekolah. Awalnya, Ain pernah mencuba untuk memujuk, tetapi jawapan Amirah menghampakannya.

“Tak perlu nak sedih bila aku tak ada nanti. Bukan ini ke yang kau nak selama ni?”

“Tapi, Mira,tahun depan kita dah nak PMR. Lagipun kita kan dah selesa belajar kat sini. Tentang kes tu, aku dah yakin yang kau tak bersalah. Pihak sekolah pun nak siasat perkara ni dengan lebih mendalam lagi.” Ain berusaha memujuk Amirah menarik kembali keputusannya.

Amirah mengetap bibir. Menahan rasa yang berbuku di hati.

“Sejak kejadian hari tu, aku dah mula hilang keyakinan terhadap persahabatan kita ni. Kau kata kau sahabat aku, tapi kau sendiri tak percayakan aku. Sakit rasanya bila sahabat sendiri pandang kita seperti orang yang bersalah.” Amirah menarik nafas seketika sebelum menyambung kata-katanya.

“Kau masih ingat lagi kisah persahabatan Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah? Walaupun agak tak masuk akal seorang manusia biasa boleh berulang-alik dari Mekkah ke BaitulMaqdis hanya semalam, tapi Abu Bakar salahkan baginda ke? Tak,Ain. Sebaliknya dia ialah orang yang paling yakin sekali mengatakan bahawa dia mempercayai Rasulullah, sahabatnya.”

“Tapi aku bukan Abu Bakar, Mira. Aku tak mampu jadi seperti dia.” Ain menggelengkan kepala perlahan. Air mata yang bertakung di tubir mata sedaya-upaya ditahan agar tidak tumpah.

“Mungkin ini cara yang terbaik. Aku minta maaf kalau selama ini, aku pernah sakitkan hati kau atau buat kau sedih. Bukannya aku nak putuskan persahabatan kita terus, Cuma aku perlukan masa untuk pulihkan balik hati aku, Ain. Aku harap kau faham.”

Ain pantas memeluk Amirah. Erat sekali. Sungguh dia menyesal kerana pernah melukakan hati sahabatnya ini.

“Aku minta maaf, Mira. Minta maaf sebab buat kau kecewa.”

“Sudahlah Ain, perkara dah berlalu. Kalau panjang umur, jumpa lagi. Aku akan selalu ingat kau dalam doa aku.” itulah kata-kata terakhir yang diucapkan Amirah sebelum dia pergi.

Ain tak mampu untuk menghalang. Sebab dia juga merupakan salah-satu punca Amirah ingin berpindah sekolah. Tidak lama selepas itu, pencuri yang sebenar telah berjaya ditangkap. Rupanya dia sengaja memindahkan kesalahan tersebut kepada Amirah. Tetapi, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Jauh di sudut hatinya ,Ain sentiasa mendoakan agar persahabatan mereka tidak akan putus walaupun selepas ini mereka akan berjauhan. Dalam sebuah persahabatan, perlu ada sikap saling mempercayai antara satu sama lain dan sentiasa jujur kerana Ain tahu, dia bukanlah seperti Abu Bakar, yang sentiasa teguh bersama sahabat sampai syurganya, Nabi Muhammad.

Friday, November 18, 2011

Alhamdulillah,syukur aku panjatkan kerana selamat tiba di rumah...

sebenarnya ada satu perasaan yang terbuku dalam hati hari ni
sebab mungkin hari ni adalah hari terakhir aku akan bertemu dengan mereka
setelah hampir empat tahun bersama-sama
mengharungi pelbagai cabaran di sekolah
berkongsi macam-macam cerita,pengalaman,ilmu
sebak di hati memanglah tak terkata
sebab perpisahan tu pasti akan terjadi...bilamana adanya pertemuan..
tapi...

sesungguhnya syaitan tidak suka kepada dua orang sahabat yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah jua
dan aku yakin dengan janji Allah,
walaupun lepas ni mungkin takkan dapat bersua selalu, ukhuwah tu ada di mana-mana
tinggal kita mahu atau tak untuk mengekalkan ukhuwah itu

"Dan Allah yang mempersatukan hati orang yang beriman.Walaupun kamu menginfakkan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana."
- Al-anfal, 63 -

Perpisahan itu lumrah kehidupan...
mereka ada perjuangan mereka sendiri,
untuk menghadapi SPM pada tahun ini..
dan aku? punya perjuangan aku sendiri..
untuk membaiki diri sendiri, dan mengajak orang ke arah kebaikan.
tapi yang pasti..matlamat kami sama..
mencari keredhaan Allah..

Monday, November 7, 2011

berkata benarlah walaupun pahit

Antara perkara yang sering melanda pelajar yang menjadi pemimpin di sekolah ialah
bagaimana nak menegur rakan yang berbuat salah. biasalah, dalam sesuatu komuniti tu, pasti akan wujud pro dan konta. pasti akan ada golongan yang dilabelkan budak baik dan satu lagi golongan budak nakal. pernah satu hari, bila ada rakan saya mengadu tentang masalah disiplin kepada seorang rakan yang merupakan exco, rakan saya yang exco tu pun berkata:

"Tegur je la dia. awak pun ada kuasa juga."
"Tapi, saya mana ada apa-apa jawatan.Saya cuma student biasa je. Tak layak nak tegur orang. Lagipun, saya takutlah."
"Awak takut apa? Takut kena maki dengan diorang, ataupun takut diorang kondem awak? Ke awak takut diorang akan pandang sinis kat awak nanti?
Rakan yang mengadu itu perlahan-lahan mengangguk. Betul, dia takut kalau dia tegur depan-depan nanti, mesti budak-budak tu akan bencikan dia, kutuk dia kat belakang.

Exco tu pun cakap kat kawan dia ni.

"Rasulullah dulu, bila dia sebarkan ajaran Islam, apa balasan yang baginda terima?"
"Kena caci, hampir kena bunuh..."
"Lagi?Banyak kan?Antaranya kena baling dengan tahi, baling dengan batu, selalu diancam bunuh.Tapi, baginda pernah ke berhenti sebarkan Islam?"
"Tak pernah."

Si exco tu pun tersenyum mendengar jawapan rakannya itu.

"Apa yang kita hadapi sekarang kecil sangat kalau nak dibandingkan dengan cabaran yang Rasulullah hadapi.Paling teruk pun kita akan kena maki.Lagipun, itu kan memang tugas kita, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran."

Perlahan-lahan dia mengangguk.Si exco tu pun menepuk perlahan bahu sahabatnya itu.

"Pedulikan apa orang kata, kita sayangkan kawan-kawan kita, sebab tu kita tegur. Sebab kita taknak diorang terjerumus ke jalan yang salah. Mungkin sekarang mereka tak sedar lagi, tapi kita kenalah selalu berdoa semoga hati mereka disentuh oleh Allah. Manusia hanya mampu berusaha, Allah lah yang berkuasa memberi hidayah kepada hambaNYA."

Kalau kita sayangkan sahabat kita, mesti kita nak bersama dengan dia hingga ke syurga. walaupun pahit, kita kena jalankan juga tanggungjawab kita. Sebab kita dah diberi amanah tersebut. Sedangkan gunung yang kuat tu pun tak mampu nak pikul amanah tu, tapi, kita ni sebagai manusia yang memikul amanah tu. Jadi kita kenalah laksanakan tanggungjawab kita dengan sebaiknya.

Lagipun, setiap orang adalah pemimpin ataupun dai'.Walaupun cuma untuk dirinya sendiri. Lebih baik kita susah di dunia daripada kelak bila kita disoal di akhirat, kita tak mampu untuk menjawabnya.

~mogaAllahredha~

Friday, November 4, 2011

ujian dan harapan

ada kalanya dalam hidup, kita akan berasa sangat lemah, letih, kecewa,
tak tahu apa yang patut dilakukan.
ada kalanya juga dalam hidup ni kita akan rasa seperti cahaya harapan tu takkan bersinar lagi untuk kita.
ada kalanya juga dalam hidup ni kita akan merasa seperti cuma kita sahaja yang hidup, keseorangan, tanpa ada sesiapa di sisi.
ada kalanya juga dalam hidup kita akan mengalami beberapa fasa perubahan, yang memungkinkan kita diterima atau dibenci.
bila ada dalam situasi yang sukar, kepada siapakah kita akan meminta pertolongan?
kalau kecil dahulu, orang pertama yang aku akan mengadu ialah ibu bapa.
bila aku semakin membesar, aku akan mencari teman yang boleh dipercayai untuk mengadu
tapi semakin aku meningkat dewasa, aku semakin hilang arah untuk mencari tempat bergantung
sebab tiada sorang pun yang boleh menenangkan hatiku
tiada sesiapa pun yang boleh menghilangkan masalah yang aku alami
tiada siapa pun yang mampu memberi bantuan yang aku perlukan.
dan saat itu, baru aku tersedar, meminta pertolongan dari manusia kadang-kadang cuma sia-sia
sebab ia takkan mampu merubah apa-apa, tetapi sekiranya kebergantungan itu aku sandarkan kepada DIA Yang Maha Berkuas, aku tahu, aku pasti tak akan kecewa. sebab aku tahu Dialah yang mendatangkan setiap ujian itu dan cuma Dia yang berhak untuk menarik ujian itu kembali.

Dan apakah orang-orang mukmin itu mengira, yang mereka akan dibiarkan dengan berkata'Kami beriman' sedangkan mereka belum diuji?