a good life is when u assume nothing..need less..do more..laugh a lot and realized how blessed you are for what you have..

Saturday, June 11, 2011

kita tahu perkara tu salah,tapi kita masih lagi nak buat
kita tahu perkara tu akan merosakkan kita,
tapi kita masih lagi tekad,tak peduli dgn nasihat orang lain.
kenapa agaknya ye?

hidup untuk enjoy!!takrifan remaja hari ini.
aku hairan,macam mana diorang boleh fikir macam tu.
hmmm....entahlah,pandangan orang berbeza-beza.
bacalah cerita ini...mungkin ada sesuatu yang boleh diambil iktibar.
read and enjoy it!

Suasana di kampung jauh lebih tenang berbanding kehidupan di kota.Angin bayu yang berhembus segar mendinginkan tubuhnya.Dia bersandar di tiang pondok itu.Tempat kegemarannya bersantai di waktu petang.Pondok kecil itu terletak betul-betul di hadapan rumah bapa saudaranya.

“Shah!Kamu buat apa tu?”satu suara menegur dari belakang.Shahrul menoleh,menarik senyuman di hujung bibir.

“Tak ada apa-apa pak long.Ada apa?”

“Waktu maghrib dah nak masuk.Pergilah bersiap cepat.Kita kena sampai awal ke masjid hari ni.”Shahrul menoleh seketika ke arah jam di tangannya.Dia beristighfar perlahan.Leka termenung hingga tidak sedar senja sudah mulai hendak menjengah.

Lantas,kakinya dihayun menuju ke dalam rumah.Hendak segera bersiap-siap untuk solat berjemaah di masjid.Rutin harian Shahrul bersama pak long.

********************

Suara azan maghrib dilaungkan dengan begitu merdu sekali.Menyentuh setiap hati yang terpanggil untuk menyahut seruan Ilahi.Tetapi sebaliknya menjadi laungan yang membakar untuk syaitan yang tak pernah berhenti untuk menyesatkan manusia.

“Sedapnya suara orang ni azan bu.”Iffah bersuara,melahirkan kekagumannya.Hasmah tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu.

“Itulah suara ustaz muda yang selalu ibu sebutkan tu.Dah hampir tiga bulan dia tinggal di kampung kita ni.Kalau tak silap ibu,dia ni anak saudara Pak Ali.”

“Baguslah.Tak sangka ada juga orang muda yang sudi mengajar di kampung kita ni.”

“Tapi,dengar-dengar cerita,dia tu sebenarnya orang Bandar.Tak tahulah ibu kenapa dia datang ke kampung kita ni.Nak cari calon isteri agaknya.”Hasmah tertawa kecil.

“Apalah ibu ni,fikir ke situ pula.”Iffah hanya menggeleng.

Iffah memandang sekeliling.Masjid itu penuh dengan orang-orang kampung.Suatu fenomena yang jarang sekali dapat dilihat.Hatinya memanjatkan kesyukuran.Ternyata kehadiran ustaz baru itu mengundang seribu satu rahmat di kampungnya.

“Sementara menunggu waktu Isya’,marilah kita sama-sama mendengar sedikit tazkirah yang bakal disampaikan oleh ustaz Shahrul.”

“Alhamdulillah,bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNYA kita dapat berkumpul pada hari ini.Kita sepatutnya berbahagia kerana kita sekarang sedang berada dalam satu antara taman-taman syurga.”Tenang suara Shahrul memulakan ucapannya.

Suasana terasa begitu hening sekali.Semua orang menumpukan perhatian kepada Shahrul.Iffah mengerutkan dahi.Kenapa suara itu seolah-olah pernah singgah dalam hidupnya sebelum ini.Suara milik lelaki itu.

Tabir yang memisahkan jemaah lelaki dan perempuan telah disingkap,membolehkan Iffah melihat wajah Shahrul yang sedang menyampaikan pengisiaannya.Wajah itu….Iffah menepuk perlahan pipinya.Tak mungkin itu dia.Tapi,wajahnya,suaranya,persis sekali dengan dia.

Tiba-tiba Iffah terasa sakit.Sakit di hatinya.Sakit kerana terpaksa membuka kembali lipatan memori lama yang cuba dibuang jauh dari kotak ingatan.Ya Allah,kenapa mesti ada pertemuan ini dengan dia.Kenapa?Hatinya menyoal sendiri.Iffah terasa ada air hangat yang mengalir di pipi.Pantas dia menyekanya,bimbang dilihat oleh ibunya.

Iffah tenggelam dalam lamunannya sendiri sehinggalah kedengaran suara bilal melaungkan iqamat,meminta para jemaah bersedia untuk menunaikan solat Isya’.Saat imam mengangkat takbir dan mula membaca surah Al-Fatihah,hati Iffah berkecamuk hebat.Itu memang dia.Lenggok bacaannya,suaranya.Tuhan,apa lagi dugaan yang hendak Kau berikan kepadaku.Hati kecil Iffah merintih perlahan,memohon diberikan kekuatan daripada Allah,pemegang kunci setiap hati.

“Ibu,ada apa-apa lagi tak nak beli?”Hasmah terdiam sejenak,berfikir jika ada lagi yang kurang.

“Rasanya tak ada.InsyaAllah,itu je.”

“Kalau macam tu,Iffah pergi dulu ye bu.Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,hati-hati jalan Iffah.”

Cuaca pagi itu redup,tidak terik seperti biasa.Iffah lebih selesa berjalan kaki menuju ke kedai runcit Pak Samat yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya.Kampung Harmoni sentiasa mendamaikan jiwanya.Kampung yang masih lagi tidak tercemar dengan arus kemodenn melampau,sehingga menghilangkan identiti kampung itu sendiri.

Hanya beberapa keperluan asas sudah mencukupi seperti bekalan air,eletrik,sebuah balai raya dan padang bola.Kampung Harmoni adalah sebahagian daripada diri Iffah.Tempat terhimpun segala kenangan bersama arwah ayahnya.

“Assalamualaikum,Pak Mat.”Kelihatan Pak Samat sedang sibuk menyusun barang-barang di rak.

“Waalaikumussalam.Oh kamu,Iffah.Cuti dah mula ke?”

“Alhamdulillah,baru habis kertas terakhir.InsyaAllah kalu ada rezeki,akhir tahun ni saya konvo.”

“Mak kamu sihat?”sejak kematian ayah Iffah,Pak Samat sering mengambil berat akan Iffah dan ibunya.Lagi pula,dia merupakan sahabat baik arwah ayah Iffah.

“Alhamdulillah,Pak Mat.Mak sihat.”

“Baguslah macam tu.Oh ya,kamu nak beli apa?”

“Santan ada tak Pak Mat?”

“Ada,ada.Shah,bawakkan dua peket santan ke depan.”Pak Samat memanggil seseorang di belakang kedai.Sementara itu,Iffah memilih barang-barang lain yang dipesan oleh ibunya.

“Siapa yang nak ni pak long?”suara itu menyentak Iffah.Serta-merta tubuhnya terasa dingin.

“Ha, Iffah.Kamu tak kenal lagikan dengan Shah,anak saudara Pak Mat ni.”Perlahan,Iffah memusingkan tubuhnya menghadap Shahrul.Jelas riak wajah Shahrul terkejut.Sama seperti kali pertama dia melihat Shahrul di masjid.

“Izzatul Iffah?”

“Ya,Shahrul Hafizi.”Iffah menarik senyuman pahit.

“Kamu berdua ni dah kenal ke?”kening Pak Samat bercantum dua.Hairan.

“Kami dulu satu universiti,pak long.Tapi waktu Shah tahun akhir,Iffah baru di tahun dua.”jelas Shahrul.

Hatinya kembali berbunga.Sudah sekian lama dia menanti saat ini.Sudah sekian lama dia berdoa agar dipertemukan kembali dengan Iffah. Iffah mengetap bibir.Selama ini dia berdoa agar tidak akan bertemu lagi dengan dia.Biarlah apa yang pernah terjadi antara mereka berdua berkubur.Titik.Tapi nampaknya takdir Tuhan mengatasi segalanya.Allah telah menyusun semuanya dengan begitu teratur sekali.

“Er…Pak Mat,saya rasa lebih baik saya balik dulu.Mesti ibu dah lama tunggu di rumah.”Iffah segera menjelaskan bayarannya dan pulang ke rumah.

Shahrul sedikit kecewa.Pasti Iffah masih tidak dapat menerima kehadirannya walaupun sudah hampir dua tahun mereka tidak bertemu.Tetapi,Shahrul tetap bersyukur,walaupun Iffah tidak dapat menerima dirinya,dia masih diberi peluang untuk berubah.Peluang untuk kembali menemui Rabbnya.

______________________________________________________________________________

“Susah sangat ke awak nak faham yang saya tak boleh terima awak?”

“Saya tak peduli apa yang awak fikir.Yang saya tahu,tak ada orang pernah tolak nak jadi kekasih saya dan awak pun tak akan terkecuali.”dengan nada yang angkuh Shahrul menjawab.

“Itu orang lain.Orang yang buta mata hati nak menilai orang lain.Bukannya saya.Sudahlah Shah,awak tak penat ke nak buat benda yang sama tiap-tiap hari,ikut saya selalu.Awak tak ada kerja lain ke?”Iffah merenung tajam wajah Shahrul.Wajah yang mungkin menjadi kegilaan ramai orang,tetapi bukan dia.

“Betul ke awak tak ada perasaan langsung untuk saya,Iffah?”setapak demi setapak Shahrul melangkah,mendekati Iffah membuatkan perempuan itu terpaksa berundur ke belakang.Shahrul merenung lama wajah lembut itu.Sukar sekali untuk menawan hati gadis yang berada di hadapannya.Sudah pelbagai cara yang dia lakukan,tetapi tidak berhasil.

“Tak ada.Dan takkan pernah ada.”Iffah menentang pandangan Shahrul.Hatinya semakin berbulu dengan lelaki itu.Tak habis-habis nak menyusahkan hidup orang lain.

“Habis,kenapa awak tak boleh nak terima cinta saya?Apa salah saya?”

Iffah mengehela nafas panjang sebelum menjawab pertanyaan Shahrul itu.

“Okey,saya akan cakap.Jadi,dengar baik-baik.Saya tahu saya tak sempurna.Saya perlukan seseorang yang boleh membimbing saya,menunjuk ajar saya.Lagipun,tujuan kita hidup ni hanya satu,mencari keredhaan Allah.Awak rasa dengan segala perkara yang awak dah buat ni,menjurus ke arah itu ke?”Shahrul terpaku.Hatinya seolah-olah disirami air sejuk dan mendinginkan.Manakala Iffah meneruskan bicaranya.

“Masih ramai lagi wanita di luar sana yang mahu menagih cinta awak.Tapi,awak boleh jamin ke semua itu akan kekal?Semua tu cuma ujian untuk kita,untuk menguji sejauh mana kita akan kembali semula kepada Pencipta kita.”sekali lagi hati Shahrul bagaikan disentuh.Lembut.

“Allah itu dekat sekali dengan hambaNYA.Jangan sesekali putuskan kebergantungan awak dengan Dia,awak yang akan rugi nanti.”seiring dengan kata-kata itu,Iffah terus melangkah pergi,tanpa menoleh walaupun sekali.Pintanya,biarlah itu pertemuan dia yang terakhir dengan Shahrul.

“Iffah!Turun bawah sekejap,ada orang nak jumpa.”suara panggilan Hasmah menarik Iffah keluar daripada lamunannya sewaktu di kampus universiti dahulu.

“Siapa yang nak jumpa bu?”

“Adalah.Iffah turun je.”Iffah menyarung tudung di kepalanya sebelum turun ke bawah.

Sebaik sahaja memandang wajah tetamunya,Iffah terus berpaling dan ingin berpatah balik.Tetapi suara itu mematikan langkahnya.

“Iffah,tunggu.Saya takkan lama.Cuma lima minit,saya minta awak dengar apa yang saya nak katakan.”tenang suara Shahrul menuturkan.

“Saya rasa antara kita dah tak ada apa-apa urusan lagi.Saya tak tahu macam mana awak boleh ada di kampung ni dan saya tak nak ambil tahu.Yang saya tahu,lepas ni saya takkan jumpa awak lagi,sampai bila…”Shahrul pantas memotong bicaranya.

“Kenapa awak nak menolak takdir,Iffah?”

“Takdir apa?Takdir yang mempertemukan kita sekali lagi?”Shahrul mengangguk.Suasana sepi antara mereka buat beberapa ketika.

“Iffah,kedatangan saya kali ni bukan membawa sesuatu harapan.Dua tahun dulu,saya tersedar yang apa yang saya lakukan selama ini,semuanya sia-sia.Walaupun dilimpahi harta,saya rasa kosong,tak bahagia.Dan saya cuba dapatkan bahagia itu dengan mencari jalan pulang kembali.Jalan menuju Pencipta kita.”ujar Shahrul.

“Saya dah berbincang dengan mak awak dan sekarang saya memohon pengertian daripada awak.Saya nak melamar awak.”Iffah memejamkan mata.Dia tergamam,tidak tahu apa yang patut dilakukan.

“Saya tak paksa awak.Terpulang kepada awak nak terima ataupun tidak.Buatlah istikharah dulu.Biar hati awak lebih tetap dan yakin dengan keputusan awak.Tujuh hari lagi,saya akan pergi dari kampung ni.Dan saya harap awak dapat beri jawapan dalam tempoh itu.”wajah Shahrul seakan-akan pasrah.Kali ini dia langsung tidak memaksa,apa jua keputusannya,Shahrul akan terima dengan ikhlas.

Melihat Iffah masih lagi membisu,Shahrul lantas bangun,ingin segera pulang.Sekurang-kurangnya dia sudah meluahkan apa yang dia ingin sampaikan.

Sesi perkongsian ilmu pada petang itu berkisarkan topik remaja.Hampir sebahagian besar kawasan di dalam masjid penuh dengan orang ramai terutamanya daripada kalangan remaja.

“Usia remaja bukanlah usia untuk kita berseronok,tetapi ketika inilah kita perlu mencorakkan kehidupan kita pada masa akan datang.Allah sukakan hambaNYA yang bertaubat,tetapi Allah lebih sukakan hambaNYA yang muda yang bertaubat.”seorang pemuda mengangkat tangan.Shahrul memberi isyarat agar dia meneruskan apa yang ingin dikatakannya.

“Macam mana kita nak letakkan cinta Allah tu perkara yang pertama sekali dalam hati kita?”

Shahrul melemparkan senyuman sebelum menjawab soalan tersebut.

“Bila kita yakin tujuan kita diciptakan,dari siapa kita dicipta dan kepada siapa kita akan dikembalikan.Selain tu,setiap detik dalam kehidupan,kita tak akan pernah rasa sendiri,kerana sentiasa ada yang menemani dan tempat kita bergantung harap iaitu Allah.Dan kita harus percaya,cinta kepada Allah itu akan membawa kepada keredhaan dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam hidup seterusnya menjamin kebahagiaan kita,sentiasa.”tenang sekali Shahrul memberikan jawapan.

Iffah mengukir senyum segaris apabila mendengar ucapan Shahrul itu.Tak sangka orang yang sedang berucap di hadapannya ini ialah orang yang sama yang pernah dikenalinya sebagai seorang buaya darat suatu ketika dahulu.

Hatinya mula merasakan perubahan Shahrul dan juga keikhlasan lelaki itu.Serta-merta fikirannya melayang mengingatkan peristiwa bebarapa hari lepas,sewaktu Iffah menerima kunjungan lelaki itu di rumahnya.Shahrul begitu berani meluahkan hasratnya dan kali ini dia langsung tidak memaksa dirinya.Hati hawanya tersentuh dengan ketenangan Shahul dan juga peribadinya sekarang.Iffah merasakan ada rasa aneh di hatinya.Perasaan yang dia tidak tahu apa ertinya.

“Kamu nak bertolak ke Kuala Lumpur bila Shah?”soal Pak Samat.Shahrul memandang sekilas ke arah pak longnya.

“Lepas sarapan nanti,pak long.Shah takut lambat sampai rumah nanti.”

“Hmm..kamu dah siap kemas baju?Keledek yang mak long bekalkan tu jangan lupa bawa pula.Bawah rumah tu ada pisang,pak long baru ambil dari kebun tadi.”Shahrul tersenyum nipis mendengar pesanan Pak Samat.

“Ya,pak long.Jangan risau,nanti Shah bawa semua tu.Pak long tolong kirim salam untuk jemaah di masjid.Minta maaf Shah tak sempat nak jumpa semua orang.Tapi jangan risau,sekali-sekala nanti Shah akan balik ke kampung ni.”

“Sunyilah masjid tu nanti Shah,ustaz muda di kampung dah tak ada.”Shahrul tertawa mendengar usikan Pak Samat.Fikirannya melayang mengenangkan seseorang.

Sudah tujuh hari berlalu dan Iffah masih tidak memberikan apa-apa jawapan.Sahrul pasrah.Mungkin memang tiada jodohnya dengan Iffah.Hatinya sedikit sayu tetapi dia tahu,

pasti ada hikmah di sebalik setiap yang berlaku.Susunan Allah itu indah kerana hanya Dia yang mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.

“Bawa kereta elok-elok,Shah,jangan pandu laju sangat.”pesan Pak Samat.

“Kalau rasa mengantuk,berhenti dulu.Jangan teruskan memandu kalau rasa tak larat.”mak long pula mengambil giliran untuk memberi pesanan.

“Shah pergi dulu,pak long,mak long.Assalamualaikum.”setelah menyalami ibu dan bapa saudaranya,Shahrul melangkah untuk masuk ke dalam kereta.

Hatinya sebak nak tinggalkan kampung ini.Sayu nak pergi sebab hatinya tertinggal di sini.Sungguh Shah tak tahu bila dia nak ambil kembali hati yang sudah dicuri itu.Mungkin bia dia sudah punya kekuatan,Shah akan mampu menyingkirkan pencuri hatinya daripada kotak ingatannya.

“Awak nak pergi tanpa jumpa saya dulu?”suara itu.Shahrul tersenyum tawar.Hatinya bertanya sendiri.Perlu ke mereka bertemu kalau pertemuan itu cuma akan menambah luka di hati.Iffah sudah memberikan jawapannya secara tidak langsung dan Shahrul memahaminya.Dia tidak akan memaksa.

“Saya bagi tempoh tujuh hari untuk awak berikan jawapan.Hari ni hari kelapan dan saya tak terima apa-apa jawapan daripada awak.Jadi,kesimpulan saya cukup mudah.Awak menolak.” tenang Shahrul menuturkan tanpa berpaling menghadap Iffah.

“Kalau saya kata saya terima?”Iffah cuba menduga hati lelaki itu.Shahrul menoleh sejenak.Cuba mencerakin maksud pernyataan Iffah sebentar tadi.

“Saya tak pandang awak sebagai anak orang ternama,rupa awak ataupun harta yang awak ada,Shah.Saya cuma harapkan awak boleh memimpin saya dan kita sama-sama melangkah ke syurga.”Iffah melahirkan harapannya.Sebuah harapan yang tulus lahir dari hatinya.

Perlahan-lahan Shahrul mengorak senyuman.Dadanya terasa lapang.Hatinya seolah-olah disimbah air sejuk.Dingin dan menyamankan.Bibir mengucap syukur kepada Yang Esa.Syukur yang tidak terhingga.Kerana mengabulkan doa-doanya selama ini.Kerana memberikannya kesempatan untuk membina sebuah kehidupan bersama-sama Iffah.Untuk mengejar redhaNYA.

“Tunggu saya pulang.Saya akan bawa ibu bapa saya sekali.”sebaris ayat itu sudah cukup memberi makna buat mereka berdua.Shahrul membalas pandangan Iffah dengan sebuah senyuman.Hanya sebaris ayat yang mampu diungkap saat ini.Terima kasih Ya Allah.

No comments: